Thursday, December 23, 2010

MeRaNcAnG KeMaTiAn.....



bismillah~


Sudahkah anda merancang kematian anda?
Ish,apa nie cakap pasal mati jer…

Macamana nak merancang, mana ada orang tahu dia mati bila, ya tepat sekali jawapan anda, sebab tak tahu lah kita kena rancang…yakni bersedia.

Semua orang tahu tarikh nak masuk peperiksaan, temuduga, hari raya, nikah dan sebagainya, lalu merancang persediaan untuk hadapi hari-hari tersebut. Namun hari yang dirancang itu belum pasti sebenarnya kerana boleh jadi hari kematian muncul terlebih dahulu, ketika ini nak salahkan siapa tak merancang untuk kita? Malahan hari kematian itu pasti dan tiada siapa yang boleh menangguhkannya apatah lagi menolaknya tidak kira sama ada kita bersedia atau tidak.

Ramai yang bijaksana lagi sistematik perancangannya untuk menyambut atau meraikan sesuatu, tapi tidak ramai yang bijaksana dalam erti kata sebenar…

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ditanya : Siapakah manusia yang paling bijak? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Mereka yang paling banyak mengingati mati, dan yang paling banyak membuat persediaan untuknya. Itulah orang yang bijak, mereka pergi dengan kemegahan dunia dan kemuliaan akhirat.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Haithami berkata : Isnadnya hasan].

Kehidupan di dunia ini sebenar adalah perjalanan menuju kematian. Jika sebuah kereta atau sebuah kapal mahu memulakan perjalanan dan pelayaran sudah semestinya kereta dan kapal itu bermula pada destinasi yang diketahui lagi dikenali lalu dimaklumi juga kepada penumpang dan anak kapal destinasi tujuan kereta dan kapal tersebut. Jadi sudahkah kita kenal lagi mengenali asal tujuan perjalanan kehidupan ini???

Kenalilah dari mana kita datang dan ke mana destinasi akhir kita. Kematian bukanlah destinasi akhir tapi pintu akhir di dunia dan pintu permulaan untuk alam akhirat. Jadi sudah tentu destinasi sebenar seluruh makhluk manusia dan jin adalah Syurga dan Neraka.

Bagiku dan pandanganku, cukuplah 3 perkara utama yang dapat dihuraikan dalam perancangan manusia menuju kematian.

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): 1 - Sedekah jariah, 2 - ilmu yang bermanfaat dan 3 - anak yang soleh yang mendoakannya”. (H/R Muslim 3084)

Bukankah dunia ini ibarat ladang dan hasilnya akan dituai di akhirat nanti? Maka, marilah kita bercucuk tanam merangkumi tiga perkara yang telah disebutkan Nabi Shalallahu alayhi wasallam tersebut. Jika kita perhatikan sedekah jariah, yakni kita menginfakkan atau memberi sebahagian harta yang kita ada untuk kebaikan orang lain atau untuk kebaikan umat islam maka di situ telah menunjukkan kita perlu mencari harta. Jadi adakah di sini mengajak kita meninggalkan hal pekerjaan di dunia? Tentulah tidak, malah menyedarkan kita matlamat asal hidup untuk mengumpul saham akhirat maka bekerja keraslah wahai manusia untuk mencari habuan dunia dan akhirat.

Seterusnya, ilmu yang bermanfaat yakni ilmu yang dipelajari sama ada ilmu wahyu atau ilmu aqliah. Ilmu wahyu adalah ilmu agama yang diwahyukan oleh Allah Taala kepada pesuruhNYA Nabi Muhammad Shalallahu Alayhi Wasallam. Dan ilmu aqliah yakni ilmu fardhu kifayah yang bertujuan mentadbir dan mengurus sistem kehidupan manusia yakni merangkumi ilmu kejuruteraan, perubatan, pendidikan, kebajikan dan sebagainya. Maka, apabila ilmu tadi diajarkan dan disebarkan kepada manusia lain yang dengan itu ramai manusia mendapat manfaat dari ilmu tadi maka, pahala yang berterusan sehingga ke hari kiamat akan datang memenuhi saham amal sang pengajar atau sang pengamal ilmu itu tadi, sebanyak bilangan orang yang mendapat menfaat dari ilmu itu tadi sebanyak itulah pahala yang diterimanya.

Dan terakhir, anak yang soleh yang mendoakan. SubhanaAllah Maha Pemurahnya Allah Azza wa Jalla kepada hambaNYA yang berusaha memikul anugerah dan amanah Allah dalam bentuk pimpinan seorang ibu atau ayah kepada zuriatnya. Lalu apabila anak yang diasuh dan dididik membesar menjadi hamba Allah Taala yang taat dan beriman kepada Allah lalu sering mendoakan kedua ibu bapanya, maka inilah harta ayah bonda yang tiada tolok bandingnya dengan isi dunia kerana setelah kematian ibu bapa tadi sesungguhnya segala harta dan kekayaannya tidaklah dapat dibawa bersama ke alam barzakh tetapi doa anak yang soleh itu jugalah yang akan sampai menemani kedua orang tua mereka.

Namun begitu, untuk mendapatkan harta bagi disedekahkan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan terlebih dahulu hendaklah kita berILMU. Ilmu yang tersangat penting di sini adalah ilmu wahyu yakni ilmu agama. Bayangkan tanpa ilmu agama bagaimana kita mahu membezakan harta yang dicari itu halal atau haram? Jangan jadi seperti Robin Hood yang berniat baik membantu orang dalam kesusahan melalui hasil rompakan. Bagaimana pula mahu menjadi orang berilmu dan memanfaatkan ilmu kemahiran yang dipelajari tanpa terlebih dahulu kita berilmu dengan ilmu agama kerana sesungguhnya dengan agama akan menjadikan seseorang ikhlas mengharapkan pahala hanya dari Allah Taala bukan pujian dan terima kasih dari manusia. Terlebih kerana amal yang ikhlas itulah yang diterima oleh Allah Azza wajalla. Seterusnya anak yang soleh, bagaimana mahu mendapat anak yang soleh kalau tidak terlebih dahulu ibu bapanya yang soleh, lalu bagaimana mahu menjadi soleh kalau bukan dengan ILMU agama.

Oleh itu, marilah kita merancang kematian kita dengan ILMU Agama. Sentiasalah melakukan pertambahan ilmu agama yakni sesungguhnya ilmu Allah Taala amatlah luas dan tak akan habis, maka sudah tentu kita perlu sentiasa menambah ilmu sehingga ke akhir hayat. Sesungguhnya kebaikan yang diterima Allah Taala adalah dengan berilmu sebelum beramal.

"Barangsiapa Allah kehendaki baginya kebaikan maka Allah akan fahamkan dia dengan agama" -HR Bukhori



Wa Allahu’alam bisawab~

No comments:

Post a Comment