Friday, December 24, 2010

BoNdA,DiSiTu DaMaInYa HaTi.....

Hujan telah pun reda, namun rintiknya masih berdetap sekali-sekala men
impa atap. Suara katak masih bersahutan memanggil hujan agar turun lagi, bagaikan irama yang membingitkan telinga bagi sesetengah orang. Namun bagi diri saya yang berasal dari desa itulah irama yang menghiburkan tatkala hujan turun. Termasuk kokokan ayam, deru alur jernih serta siulan mergastua di hutan hijau, semuanya pelengkap damai desa.

Di satu sudut rumah bonda

Saya merapatkan sila sambil menyandarkan belakang ke dinding. Dari beranda usang rumah bonda saya memerhatikan langit petang. Redup mendung bagaikan mahu menumpahkan hujan lagi. Mungkin malam ini hujan lagi. Musim tengkujuh, hati saya bermonolog sendirian.

Beberapa ekor ayam peliharaan bonda meluru keluar dari bawah rumah menuju ke tengah halaman. Mungkin mencari rezeki habuan tembolok, kalau-kalau ada cengkerik yang leka atau belalang yang berlindung di celahan rumput hijau.

"Untung kamu sang ayam tidak perlu ke pejabat, tiada memikul tanggungjawab. Tak perlu beribadat, tak perlu pening kepala memikirkan masalah umat. Bangun pagi ke sana ke mari mengejar rezeki habuan tembolok," tiba-tiba hati kecil berbicara sendirian.

"Memang kami tidak serupa kamu wahai manusia, tetapi kami juga ada tanggungjawab. Setiap pagi kami mengejutkan kamu dari tidur. Kami juga berzikir kepada Tuhan walau tidak seperti kamu," Seakan terdengar sang Jalak bersuara, sambil bertenggek di tunggul kelapa yang sudah separuh tersisa.

"Maafkan diri ini, wahai sang Jalak yang berjasa."

Bonda yang satu

Ahh...jauh sungguh lamunan ini. Saya menarik nafas dalam-dalam membiarkan wajah di sentuh angin lembut yang bertiup. Damai dan mendamaikan. Lebih mendamaikan lagi apabila dapat bertemu dengan bonda. Allah jua yang mengetahui betapa sejuknya dapat mencium tangan bonda. Di dalam pelukan bonda terasa tenang bagaikan turun sakinah dari langit. Perpisahan yang bukanlah terlalu lama tetapi saya sentiasa diburu rasa bersalah membiarkan bonda keseorangan di kampung. Benarlah kata orang tua-tua, "seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu." Saya segera insaf dan memohon keampunan-Nya.

Termenung dimeja makan yang menyimpan seribu satu kenangan. Dimeja inilah dulu kami semua adik beradik bergurau senda dengan bonda dan ayahanda.Ayahanda lebih suku abad meninggalkan kami. Namun segala nasihat dan panduan masih tersemat kukuh di jiwa kami semua.

Tidak semena-mena saya jadi sebak. Fikiran melayang ke langit lepas, teringat kembali e-mail yang dikirim oleh rakan sekerja semalam. berkali-kali saya membacanya, sehingga meruntun jiwa ini.

Nilai kasih Ibu

Seorang anak mendapatkan ibunya sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

1)Kos upah membantu ibu:
2)Tolong pergi kedai $4.00
3)Tolong jaga adik $4.00
4)Tolong buang sampah $1.00
5)Tolong kemas bilik $2.00
6)Tolong siram bunga $3.00
7)Tolong sapu sampah $3.00
Jumlah $17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

Kos mengandungkanmu selama 9 bulan ?
PERCUMA
Kos berjaga malam kerana menjagamu ?
PERCUMA
Kos air mata yang menitis keranamu ?
PERCUMA
Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu ?
PERCUMA
Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu ?
PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku
PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh
si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis 'Telah Dibayar' pada mukasurat yang ditulisnya.

Diriwayatkan seorang telah bertemu Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat layanan baik dariku? Rasulullah menjawab, "Ibumu (dan diulang sebanyak tiga kali), kemudian ayahmu, kemudian saudara-saudara terdekatmu.

Maafkan anakmu duhai bonda yang tiada galang ganti...

Kokokan ayam, deru alur jernih, suara katak dan mergastua lengkaplah kepulangan saya ke kampung. Tetapi pelukan dan keampunan bonda itulah pelengkap segala-galanya. Damai dan mendamaikan.

No comments:

Post a Comment