Monday, April 25, 2011

iLmU



Ilmu adalah pengetahuan (penguasaan maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidak-tahuan atau kejahilan. Ilmu secara syar’i adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Qur’an, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.

Ilmu yang bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Ta’ala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengangungan, rasa takut, cinta (mahabbah), harapan, sabar, redha dan tawakkal hanya kepada Allah. Manakala yang kedua, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang membawa kepada segala apa yang diredhai dan dicintai oleh Allah. Yang dengan ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa yang dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudulFadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf.

Melalui apa yang diambil daripada beliau ini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah. Tidak kiralah ilmu tersebut tergolongan dalam ilmu-ilmu yang syar’i lagi wajib atau ilmu-ilmu berbentuk kemahiran kehidupan, sekiranya ia membawa pengamalnya kepada mencari redha Allah, insyaAllah ia adalah ilmu yang bermanfaat. Sebaliknya, sekiranya ilmu tersebut walaupun ia adalah ilmu-ilmu yang syar’i tetapi tidak diamalkan seiring atas jalan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ia akan termasuk ke dalam jajaran ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat.

Ini dapat difahami antaranya berdasarkan firman-Nya (yang bermaksud), “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56). Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila kita benar-benar faham bahawa ilmu yang syar’i lagi bermanfaat adalah ilmu-ilmu yang datang daripada al-Qur’an, as-Sunnah, dan kefahaman terhadap keduanya, maka sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuninya. Itulah yang merupakan tradisi para ulama dan ilmuan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat imam asy-Syafi’i rahimahullah yang merupakan imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Qur’an seawal usianya 9 tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan 7 tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul di zamannya, iaitu al-Muwaththa’ karya imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia itu kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Qur’an dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, di ketika para ilmuan menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan video game sebagai santapan rohani anak-anaknya. Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah yang benar.

Sebenarnya kita perlu sentiasa membudayakan tradisi ilmu yang ditinggalkan oleh para ulama. Lebih-lebih lagi untuk menangkis syubhat-syubhat yang dihantar oleh musuh-musuh Islam melalui muzik, kartun, massa, pemakanan dan pelbagai bentuk lainnya yang hebat melanda ketika ini. Iaitu dengan menghidupkan budaya membaca, memahami, dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Berapa ramai di antara kita yang menempatkan buku-buku para ulama di rumah-rumah sebagai bahan bacaan dan rujukan? Sama ada dari rangkaian kitab-kitab aqidah seperti Syarah ath-Thahawiyah oleh Ibnu Abil Izz, Syarhus Sunnah Imam al-Barbahari, Syarah Ushulus Sunnah Imam Ahmad, dan selainnya dari kitab-kitab ilmuan generasi awal. Diikuti pula oleh kitab-kitab tafsir al-Qur’an seperti Tafsir Ibnu Katsir dan kitab-kitab hadis seperti Riyadhus Sholihin Imam an-Nawawi, asas-asas Mustholahul Hadis, sehinggalah kepada rangkaian kitab-kitab hadis yang utama seperti Shohih al-Bukhari, Muslim, serta siri kitab-kitab syarahannya.

Jangan biarkan anak-anak memenuhi rohaninya dengan majalah para artis dan bintang bola, komik-komik, atau surat khabar-surat khabar yang sering bermain isu. Sehingga risalah hadis empat puluh (al-Arba’in an-Nawawiyyah) pun terasa janggal untuk dibelek sampai ada yang tidak pernah mengetahui kewujudannya. Bimbinglah mereka untuk mengenali para ulama dan karya-karyanya. Jangan biarkan tokoh-tokoh jalanan lebih kita kenali berbanding tokoh-tokoh ulung agama ini. Kerana ilmu yang bermanfaat itu hanya dapat diperolehi dengan menekuni warisan tinggalan ulama berupa aqidah dan akhlak peribadi mereka melalui karya-karya agungnya yang berisi penjelasan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Atas sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda,

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157)

Dengan ilmu darjat seseorang yang beriman diangkat oleh Allah, jiwa menjadi bahagia dan tenteram, dengan ilmu kita diberi kefahaman menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, ilmu mengajak untuk memilih kebaikan berbanding keburukan, dengannyalah juga kita dibimbing untuk berjalan menuju Syurga Allah yang luas terbentang.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)

Tidak terhenti sekadar di dunia, ilmu bermanfaat ini pahalanya akan terus kekal mengalir walaupun ditinggal mati. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda,

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Sedekah jariyah yang pernah dilakukannya, 2 – Ilmunya yang dimanfaatkan, atau 3 – Anak yang soleh yang mendoakannya. (Hadis Riwayat Muslim, 8/405, no. 3084)

Selain dalil ini, terdapat dalil-dalil lain yang menyebutkan bahawa amalan kebaikan anak-anak yang soleh juga turut mengalirkan pahalanya kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia walaupun tidak pernah diadakan ritual-ritual khas sedekah pahala seperti tahlilan dan yasinan.

Jadi, manfaatkanlah umur yang ada untuk menyuburkan budaya ilmu dan mendidik anak-anak dengannya. Kerana dengan membudayakan ilmu yang bermanfaat, ia membantu meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sekaligus jalan menuju Syurga yang kekal abadi.

Sebagai penutup, penulis tinggalkan dengan pesanan Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H),

نَسْأَل اللهَ عِلْماً نَافِعاً، تَدْرِي مَا العِلْمُ النَّافِع؟هُوَ مَا نَزل بِهِ القُرْآنُ، وَفسَّره الرَّسُول - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَوْلاً وَفعلاً، وَلَمْ يَأْت نَهْي عَنْهُ، قَالَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ: (مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي، فَلَيْسَ مِنِّي)، فَعَلَيْك يَا أَخِي بتدبُّر كِتَاب اللهِ، وَبإِدمَان النَّظَر فِي (الصَّحِيْحَيْنِ) و(سُنَن النَّسَائِيّ)، وَ(رِيَاض النَّوَاوِي) وَأَذكَاره، تُفْلِحْ وَتُنْجِحْ، وَإِيَّاكَ وَآرَاءَ عُبَّادِ الفَلاَسِفَة، وَوظَائِفِ أَهْلِ الرِّيَاضَات، وَجُوعَ الرُّهبَان، وَخِطَابَ طَيْشِ رُؤُوْسِ أَصْحَابِ الخلوَات، فُكُلُّ الخَيْر فِي مُتَابعَة الحنِيفِيَة السَّمحَة، فَواغوثَاهُ بِاللهِ، اللَّهُمَّ اهدِنَا إِلَى صرَاطك المُسْتقيم

“Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan daripadanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Wahai saudaraku, kamu perlu mempelajari kitab Allah dan menekuni dua kitab Sahih (Shohih al-Bukhari dan Muslim), Sunan an-Nasaa’i, Riyadhus Sholihin, dan al-Adzkar karya Imam an-Nawawi, nescaya kamu akan beruntung dan selamat. Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami jalan-Mu yang lurus.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)

Wallahu a’lam...

No comments:

Post a Comment